Wednesday, October 27, 2010

Bakun: Sungai Rajang cetek?

Bakun: Sungai Rajang cetek?


KAPIT 26 Okt. - Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menghentikan kerja-kerja menakung air di Empangan Hidroelektrik Bakun yang setakat ini telah mengakibatkan paras air Sungai Rajang terutamanya di kawasan hulu semakin cetek.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan sebaliknya berkata, penakungan air tetap akan diteruskan kerana satu kajian berhubung kerja-kerja penakungan telah dilakukan sebelum permit kebenaran dikeluarkan pada 13 Oktober lalu.
Menurutnya, berdasarkan kajian itu, Sarawak dijangka akan mengalami musim monsun yang mengakibatkan hujan lebat dan bersesuaian dengan kerja-kerja menakung air.
''Namun apa yang berlaku adalah di luar jangkaan dan kita berharap agar hujan turun bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk," katanya kepada pemberita di Rumah Rehat Song dekat sini semalam.
Dalam pada itu, Awang Tengah memberitahu, pada masa sama, sejumlah air juga akan dilepaskan dari Empangan Hidroelektrik Bakun bagi mengimbangi paras air Sungai Rajang pada 43 aras laut purata (MSL).
Kata beliau, paras terendah MSL yang dicatatkan ialah di antara Kapit dan Belaga iaitu pada 41 MSL dan hanya boleh dilalui dengan perahu.
''Walaupun bot ekspres dan bot kargo tidak dapat mudik ke Belaga namun sungai itu masih dapat dilalui oleh perahu sebagaimana yang dialami sebelum wujudnya empangan berkenaan lagi," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Awang Tengah berkata, laporan berhubung fenomena kayu-kayu balak memenuhi Sungai Rajang secara luar biasa pada 7 Oktober lalu akan dikeluarkan secepat mungkin.
''Kita akan menyediakan hasil kajian yang serba lengkap merangkumi jabatan berkaitan kerana berdasarkan laporan awal kejadian berkenaan disebabkan oleh banyak faktor," katanya.